Tuesday, February 19, 2008

Mahasiswa dan Pilihanraya

Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran :

Maksudnya : ”Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan ulil amri di antara kamu...”

(An-Nisa’ : ayat 59)

Bahang Pilihanraya Umum ke-12 kian dirasai. Bermula dengan pembubaran parlimen yang telah diumumkan pada 13 Februari lalu oleh Perdana Menteri Malaysia, dan ia bakal disusuli dengan hari pembuangan undi pada 8 Mac 2008 setelah pelbagai spekulasi yang wujud tentang tarikh sebenar pilihanraya. Bagi rakyat Malaysia khususnya parti-parti politik tentunya mereka sedang menyusun strategi jentera masing-masing bagi menghadapi pilihanraya ini. Namun, sebenarnya ia menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia untuk turut melibatkan diri tidak terkecuali golongan mahasiswa.
Peranan mahasiswa dalam menentukan halatuju negara tidak dapat dinafikan. Ini kerana suatu masa dahulu mahasiswa universiti begitu gah dan hebat dalam menyuarakan pendapat mereka berkenaan isu-isu semasa dalam dan luar kampus, juga berkenaan isu-isu negara. Atas dasar itu jugalah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah diperketatkan bagi menyekat kemaraan mahasiswa. Hasilnya, pada hari ini kita melihat mahasiswa yang kurang daya kepekaan bukan sahaja terhadap isu-isu negara, bahkan isu-isu di dalam kampus masing-masing. Merujuk kepada artikel oleh Ust. Hasrizal yang dikeluarkan dalam blogspot beliau, berkenaan budaya 'Aku tidak Pedulisme’ kian menyerap di kalangan masyarakat terutamanya generasi muda pada hari ini : "Tak peduli, tidak mahu mengambil tahu, tidak kisah… namakan apa sahaja, ia memberikan maksud pilihanraya, proses demokrasi di negara kita dan percaturan politik yang mencorakkan kehidupan mereka secara kolektif, tidak dianggap penting sama sekali”.

Rakan-rakan sekalian,
Saya yakin tentunya anda semua bukanlah seperti golongan-golongan biasa yang sedia menerima apa sahaja tanpa berfikir. Anda semua adalah golongan cerdik pandai yang sentiasa berfikir dan melihat realiti pada hari ini. Bukanlah saya mengajak anda untuk berpolitik walhal sudah jelas kita dilarang sama sekali melibatkan diri dalam mana-mana parti politik. Namun, usah pula kita menafikan hak kita melalui apa yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Negara bahawa setiap warga negara yang telah mencapai usia 21 tahun adalah layak untuk mengundi. Mengundi adalah satu proses demokrasi yang diamalkan di negara kita, salah satu medan untuk kita memilih pemimpin yang bakal mencorakkan perntadbiran negara, justeru wajar untuk kita melibatkan diri di dalamnya. Mungkin ada sesetengahnya yang tidak mahu melibatkan diri dan berasa ia tidak penting sama sekali kerana tidak melihat kesannya pada hari ini. Akan tetapi fikirkanlah kesannya pada generasi anda semua pada masa akan datang, bagaimanakah nasib mereka pada masa itu. Ini kerana corak kepimpinan sesebuah kerajaan pada hari ini bakal menentukan halatuju negara pada masa akan datang. Pemimpin yang telah dipilih itu tadi seterusnya perlulah ditaati selagimana ia tidak bertentangan dengan syari’at Allah S.W.T berdasarkan ayat daripada Al-Quran yang saya sertakan di atas.
Akhir kalam, saya menyeru rakan-rakan sekalian yang sudah layak untuk mengundi supaya turun beramai-ramai di kawasan mengundi pada tarikh 8 Mac. Bersama-samalah kita menjadi warganegara yang peka dan cakna akan hal politik tanah air demi mewujudkan sebuah negara yang gemilang.

TARIKH-TARIKH PENTING :

Pembubaran parlimen : 13 Februari 2008
Penamaan calon : 24 Februari 2008
Pembuangan undi : 8 Mac 2008


Semak daftar pemilih anda di http://daftarj.spr.gov.my

1 comment:

Anonymous said...

tahniah.. saya harap MPP akan terus update isu semasa.