Thursday, January 24, 2008

Budayakan ilmu melalui pembacaan

Apabila saya membaca akhbar Siasah keluaran 20-26 Januari 2008, saya tertarik pada sebuah artikel yang terdapat di ruangan kolumnis Kampus yang bertajuk "Bancian tahap membaca mahasiwa petanda budaya ilmu kian pudar".
Dalam ruangan tersebut ada dilampirkan statistik bancian yang dilakukan oleh satu kajian berkenaan jumlah buku yang dibaca oleh mahasiswa, di mana jumlah bacaan bagi pelajar Australia ialah 180 buah, India 130 buah, Indonesia 94 buah, Thailand 56 buah, Brunei 26 buah manakala pelajar Malaysia hanya mencatat 12 buah buku sepanjang tiga tahun pengajian. Bagi bahan bacaan yang dibeli pula, mahasiswa Malaysia hanya mencatatkan 4 buah buku untuk tiga tahun pengajian (enam semester) berbanding Australia (160 buah), Indonesia (43 buah), India (75 buah), Thailand (31 buah) dan Brunei (15 buah).
Sebagai mahasiswa, saya juga berasa ‘terpukul’ dengan statistik tersebut yang menggambarkan betapa rendahnya tahap keilmuan dan pengetahuan mahasiswa kita pada hari ini. Tambahan lagi, sebagai pemimpin mahasiswa, saya lebih dipertanggungjawabkan ke atas hal ini yang ada kaitannya dengan kebajikan mahasiswa.
Mahasiswa merupakan aset negara yang begitu berharga yang bakal menerajui kepimpinan negara ini pada masa hadapan. Seharusnya budaya membaca ini sudah menjadi amalan di kalangan kita kerana ilmu itu datangnya dari pelbagai cabang dan salah satunya adalah melalui pembacaan. Namun, situasi pada hari ini menunjukkan bahawa kita masih belum mampu untuk membudayakan ilmu melalui pembacaan.
Melihat kepada statistik ini tidaklah menghairankan apabila suatu ketika dahulu mahasiswa kita pernah dituduh mempunyai ilmu pengetahuan am yang cetek. Ini kerana apabila sesi temuduga bagi mendapatkan pekerjaan dilakukan, ada di antara kita yang tidak mengetahui nama menteri apabila disoal meskipun mendapat keputusan yang cemerlang dalam akademik. Situasi ini bukan sahaja memalukan kita, tetapi kita juga dapat menutup peluang kerjaya sekaligus bakal diperlekehkan oleh masyarakat kerana tidak mempunyai pakej-pakej keintelektualan yang perlu ada pada seorang yang bergelar mahasiswa.
Situasi yang berlaku tidak dapat diselindungi lagi apabila kita melihat kebanyakan mahasiswa lebih cenderung membaca bahan-bahan yang kurang berilmiah dan berunsurkan hiburan semata-mata seperti majalah-majalah hiburan dan sebagainya yang banyak terdapat dipasaran. Bahan bacaan seperti ini bukan sahaja tidak memberi manfaat dan membuang masa, akan tetapi juga bakal mewujudkan jurang minat, di mana kita lebih cenderung untuk memilih bahan bacaan yang lebih ringan berbanding bahan ilmiah kerana tidak memerlukan daya pemikiran yang tinggi.
Justeru itu, sebagai mahasiswa yang celik akal fikirannya, kita seharusnya mempunyai keazaman yang kuat untuk memupuk sikap suka membaca bahan-bahan berilmiah agar pembudayaan ilmu pengetahuan secara multi-disciplinary (pelbagai bidang) dapat dipenuhi. Tambahan lagi, Malaysia bakal mengumumkan beberapa IPT sebagai universiti apex, iaitu kelompok universiti elit yang bertaraf global dan disanjungi serta dihormati seluruh dunia.

Wednesday, January 16, 2008

Kenali diriku...

Alhamdulillah... Tanggal 25 Januari 1986 merupakan hari permulaan kehidupan saya di muka bumi ini. Bertempat di Parit Raja Ahmad, Batu Pahat, saya dilahirkan dalam kelompok keluarga yang sederhana. Anak ke-4 daripada 7 orang adik beradik. Bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik dan sekarang sedang mengambil kursus Sains serta Pengajian Islam (Pendidikan) di UTM Skudai, tahun kedua.
Menyertai Pilihanraya Kampus 2007 merupakan satu pengalaman berharga buat saya. Sedar atau tidak, sudah hampir 4 bulan saya menjadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar UTM. Tidak dapat dinafikan tugas ini bukanlah suatu tugas yang mudah. Bayangkan... menjadi pemimpin untuk mahasiswa kampus, menjaga kebajikan mereka dan menjadi wakil dalam menyuarakan hak mahasiswa bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng. Namun, berbekalkan prinsip hidup ”Segalanya kerana Tuhan”, saya yakin setiap yang saya lakukan pasti mendapat manfaatnya. Setiap apa yang saya ceburi samada dalam bidang akademik mahupun kepimpinan bermatlamatkan keredhaan-Nya.
Sedikit pesanan buat diri dan juga rakan-rakan, ingatlah tujuan utama kita berada di kampus, iaitu untuk belajar. Elakkanlah gejala-gejala yang boleh memesongkan niat suci kita sepanjang berada di sini. Semoga kita semua mendapat keampunan dan keredhaan dari-Nya... Akhir kata, jika anda ada masalah atau memerlukan pertolongan, jangan segan silu untuk menghubungi saya. Insya Allah, saya akan cuba menolong anda..

Latar belakang kepimpinan :

Persatuan:
1. Presiden Persatuan Puteri Islam Malaysia, Sek Men Agama Parit Raja 2003
2. Bendahari Kelab Sejarah&Geografi 2003
3. Ahli Persatuan Agama Islam 2003
4. Timbalan Setiausaha Persatuan Mahasiswa Pendidikan 2006/07
5. Timbalan Exco Tarbiyah & Dakwah, KIHAD 2006/07

Aktiviti:
1. Timbalan Pengarah Program Khidmat Tutor Percuma, (KBT KITAB) 2006/07
2. Setiausaha Pertandingan Debat Peringkat UTM
3. wakil pertandingan Tulisan Khat peringkat sekolah
4. wakil pertandingan badminton single peringkat sekolah
5. ketua kawat kaki persatuan puteri Islam Malaysia SMAPR dalam pertandingan kawat sempena merdeka 2003
6. Fasilitator- Study Circle, Perasonality Development Course of The Matriculation Centre IIUM 2004/05
7. peserta pertandingan deklamasi sajak anjuran PSZ UTM 2006
8. wakil debat asean 2007 di USIM 2007
9. wakil debat Piala Di Raja di UiTM Shah Alam 2007

Thursday, January 03, 2008

Mahasiswa dan Tanggungjawab

Oleh : Mohd Nazri bin Din.

Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UTM 1999

Kecemerlangan mahasiswa bukanlah diukur dari aspek pencapaian akademik semata-mata. Bahkan lebih daripada itu. Sejauh mana kemampuan untuk menguruskan masa dan tanggungjawab dengan baik dan sempurna.

Sudah tentu dangan keterbatasan masa yang ada dikampus ditambah dengan bebanan akademik mengejar kursus 4 tahun, hanya mahasiswa yang benar-benar cemerlang sahaja dapat memahami dan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Terlalu tinggi harapan yang diletakkan terhadap mereka yang bergelar mahasiswa. Bukan sekadar ibu-bapa dan sanak saudara di kampung, bahkan Negara masyarakat, agama dan semua yang memerlukan buah fikiran mereka. Seharusnya mahasiswa sedar akan reality ini agar harapan-harapan ini tidak disia-siakan.

Melihat kepada cabaran yang ada disekeliling mahasiswa yang begitu banyak dan mencabar, mahasiswa haruslah berkemampuan dan kompetetif. Tahap pencapaian akademik di kalangan bumiputra masih tidak memuaskan. Manakala tahap masalah social pula semakin ketara sehingga terpampang kes-kes yang mengaibkan university. Budaya hedonism, pergaulan bebas dan materialism menjadi tuhan kepada sesetengah mereka tanpa disedari. Semua ini merupakan anasir-anasir yang merosakkan masa depan mereka sendiri . Negara pastinya diundang kehancuran sekiranya mereka-mereka ini bakal menerajui kepimpinan Negara dan masyarakat.

Cabaran diluar kampus memperlihatkan kerapuhan system pendidikan untuk mendidik semua masyarakan tanpa ada batasan yang syumul menyebabkan tahap social yang membimbangkan, berkembangnya budaya-budaya mungkar tanpa dibendung oleh anak-anak yang bertanggungjawab. Keberkesanan mahasiswa dengan front-front mahasiswa yang komited terhadap isu-isu ini adalah tanggungjawab awal yang amat perlu untuk memastikan wujud satu kesatuan fikiran dan amal. Persatuan mahasiswa university adalah wadah utama untuk menyatukan segala idea dan kekuatan mahasiswa yang ada rasa tanggungjawab terhadap segala isu sama ada dalam kampus ataupun luar. Ini keranan rangkaian persatuan mahasiswa IPTA dan IPTS yang membentuk Barisan Bertindak Mahasiswa Negara(BBMN) telah diakui kekuatan dan kesungguhannya disetiap kampus membela mahasiswa dan masyarakat.

Gabungan mahasiswa Islam semenanjung(GAMIS) pula merupakan front yang utama mahasiswa muslim melalui persatuan Mahasiswa Islam di kampus-kampus IPT. Sumbangan GAMIS adalah terlalu besar sehingga kini dalam mengekalkan dan memartabatkan mahasiswa muslim agar suara-suara dan pandangan mereka diperingkat kampus dan nasional. GAMIS juga Berjaya meyakinkan mahasiswa muslim bagi berhadapan dengan segala cabaran yang menyentuh akhlak dan akidah.

Akhirnya semua mahasiswa haruslah memiliki kesedaran yang tinggi bagi membuktikan semua tanggungjawab yang ada di bahu mereka dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan tidak dipersoalkan lagi