Thursday, January 24, 2008

Budayakan ilmu melalui pembacaan

Apabila saya membaca akhbar Siasah keluaran 20-26 Januari 2008, saya tertarik pada sebuah artikel yang terdapat di ruangan kolumnis Kampus yang bertajuk "Bancian tahap membaca mahasiwa petanda budaya ilmu kian pudar".
Dalam ruangan tersebut ada dilampirkan statistik bancian yang dilakukan oleh satu kajian berkenaan jumlah buku yang dibaca oleh mahasiswa, di mana jumlah bacaan bagi pelajar Australia ialah 180 buah, India 130 buah, Indonesia 94 buah, Thailand 56 buah, Brunei 26 buah manakala pelajar Malaysia hanya mencatat 12 buah buku sepanjang tiga tahun pengajian. Bagi bahan bacaan yang dibeli pula, mahasiswa Malaysia hanya mencatatkan 4 buah buku untuk tiga tahun pengajian (enam semester) berbanding Australia (160 buah), Indonesia (43 buah), India (75 buah), Thailand (31 buah) dan Brunei (15 buah).
Sebagai mahasiswa, saya juga berasa ‘terpukul’ dengan statistik tersebut yang menggambarkan betapa rendahnya tahap keilmuan dan pengetahuan mahasiswa kita pada hari ini. Tambahan lagi, sebagai pemimpin mahasiswa, saya lebih dipertanggungjawabkan ke atas hal ini yang ada kaitannya dengan kebajikan mahasiswa.
Mahasiswa merupakan aset negara yang begitu berharga yang bakal menerajui kepimpinan negara ini pada masa hadapan. Seharusnya budaya membaca ini sudah menjadi amalan di kalangan kita kerana ilmu itu datangnya dari pelbagai cabang dan salah satunya adalah melalui pembacaan. Namun, situasi pada hari ini menunjukkan bahawa kita masih belum mampu untuk membudayakan ilmu melalui pembacaan.
Melihat kepada statistik ini tidaklah menghairankan apabila suatu ketika dahulu mahasiswa kita pernah dituduh mempunyai ilmu pengetahuan am yang cetek. Ini kerana apabila sesi temuduga bagi mendapatkan pekerjaan dilakukan, ada di antara kita yang tidak mengetahui nama menteri apabila disoal meskipun mendapat keputusan yang cemerlang dalam akademik. Situasi ini bukan sahaja memalukan kita, tetapi kita juga dapat menutup peluang kerjaya sekaligus bakal diperlekehkan oleh masyarakat kerana tidak mempunyai pakej-pakej keintelektualan yang perlu ada pada seorang yang bergelar mahasiswa.
Situasi yang berlaku tidak dapat diselindungi lagi apabila kita melihat kebanyakan mahasiswa lebih cenderung membaca bahan-bahan yang kurang berilmiah dan berunsurkan hiburan semata-mata seperti majalah-majalah hiburan dan sebagainya yang banyak terdapat dipasaran. Bahan bacaan seperti ini bukan sahaja tidak memberi manfaat dan membuang masa, akan tetapi juga bakal mewujudkan jurang minat, di mana kita lebih cenderung untuk memilih bahan bacaan yang lebih ringan berbanding bahan ilmiah kerana tidak memerlukan daya pemikiran yang tinggi.
Justeru itu, sebagai mahasiswa yang celik akal fikirannya, kita seharusnya mempunyai keazaman yang kuat untuk memupuk sikap suka membaca bahan-bahan berilmiah agar pembudayaan ilmu pengetahuan secara multi-disciplinary (pelbagai bidang) dapat dipenuhi. Tambahan lagi, Malaysia bakal mengumumkan beberapa IPT sebagai universiti apex, iaitu kelompok universiti elit yang bertaraf global dan disanjungi serta dihormati seluruh dunia.

No comments: